Oleh:  Nur Wani Nadhirah Mohammad Shofian Shah

JOHOR BAHRU, 19 April – Kerajaan Negeri sedia membantu menjayakan pelaksanaan Modul Kesedaran Jenayah Kanak-Kanak dan Remaja (MEKAR) sebagai sebuah pusat data untuk dikongsi dengan pihak berkaitan dalam memberi kesedaran kepada golongan berkenaan.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad yakin dengan adanya pusat data tersebut, MEKAR akan menjadi aset atau rujukan penting dalam usaha membendung peningkatan kes jenayah yang melibatkan kanak-kanak serta remaja.

Menurutnya, pelaksanaan MEKAR yang akan diperluaskan dan diperkukuhkan boleh dianggap sebagai salah satu usaha kesedaran awal bagi pencegahan jenayah dalam kalangan generasi muda.

“MEKAR boleh dirangka sebagai satu modul yang mempunyai elemen kognitif serta merangkumi unsur psikologi dan kaunseling yang mudah difahami oleh anak muda,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan ‘Kick Start’ Program MEKAR: Modul Kesedaran Jenayah Kanak-Kanak dan Remaja PDRM Johor di Dewan Banquet, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.

Program MEKAR dilaksanakan dengan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor dan UTM.

YAB Menteri Besar berkata, MEKAR juga tentunya mempunyai elemen digital yang bertepatan dengan salah satu daripada 7 Ikhtiar Makmur Johor.

“Johor juga menyambut satu usaha yang hendak kita perluaskan apabila adanya inisiatif melalui salah satu daripada 7 Ikhtiar Makmur Johor, iaitu Agenda Digital Johor yang bertujuan untuk menjadikan digital ini sebagai salah satu gaya hidup kita,” katanya.

MEKAR adalah program yang julung kali diadakan di negara ini hasil kerjasama antara PDRM dan UTM bagi diguna pakai oleh setiap pegawai perhubungan sekolah dalam penyampaian mereka sebagai alat bantu ceramah.

Yang turut hadir ialah Ketua Polis Johor, YDH Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay; Naib Canselor UTM, YBHG Prof. Datuk TS Dr. Ahmad Fauzi Ismail; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor; YB Tuan Haji Shahilon Abd. Halim dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Johor, YDH SAC Alzafny Ahmad. – Makmur Johor

Kongsi berita ini