KOTA ISKANDAR, 8 Jun: Jabatan Perikanan Negeri Johor (JPNJ) mengeluarkan 351 sijil kesihatan ikan bagi membolehkan aktiviti mengeksport hasil marin berkenaan  berjalan lancar bagi tempoh 2 April hingga 3 Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB Tuan Vidyananthan A/L Ramanadhan berkata, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diumumkan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

“Pelbagai lagi inisiatif yang dilaksanakan di bawah JPNJ termasuk memberi pengecualian sewaan bagi kemudahan akuakultur dalam tempoh enam bulan bermula 1 April lalu.

“Selain itu, JPNJ turut mengeluarkan sebanyak 84 surat pengesahan dalam aktiviti rantaian bekalan makanan dan pemasaran makanan serta notis pengoperasian premis yang terlibat dalam aktiviti rantaian makanan kepada penternak bagi membolehkan operasi ternakan akuakultur diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

YB Vidyananthan berkata, JPNJ juga komited membantu golongan nelayan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disambung dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 

“Inisiatif yang diusahakan termasuklah memberi pengecualian kepada nelayan meneruskan operasi menangkap ikan bagi lesen yang tamat tempoh semasa PKP dan PKPB. Walau bagaimanapun, semua vesel perikanan yang telah tamat tempoh lesen, proses pembaharuan lesen vesel dan peralatan menangkap ikan hendaklah dilakukan sebelum 30 Jun ini.

“Bagi permohonan permit kru bukan warganegara Malaysia, proses boleh dilaksanakan secara dalam talian menerusi e-mel. Semasa tempoh PKPB juga, semua urusan di kaunter Pejabat Perikanan Daerah yang melibatkan pembaharuan lesen diproses secara berperingkat. 

“Proses itu dimulakan dengan vesel-vesel bagi zon C, C2 dan C3 yang boleh diperbaharui bermula 12 Mei lalu, vesel Zon B bermula 18 Mei dan bagi Zon A mulai 2 Jun lalu,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini