JOHOR BAHRU, 15 Julai: Hanya sebuah sekolah di daerah Muar yang dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi mangsa  banjir tidak dapat memulakan sesi persekolahan hari ini.

Menteri Besar, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Raya, iaitu salah sebuah daripada 15 sekolah yang dijadikan sebagai PPS untuk menempatkan mangsa banjir di empat daerah di negeri ini.

“Empat daerah yang terlibat ialah Muar, Tangkak, Batu Pahat dan Pontian. Maka, sekolah-sekolah di daerah berkenaan membabitkan 15 buah sekolah, iaitu 10 sekolah kebangsaan dan lima sekolah menengah kebangsaan digunakan sebagai PPS.

“Hanya sebuah sahaja sekolah yang tidak cukup bilik darjah dan masih belum dapat dibuka kerana tidak mencukupi ruang untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat dan meninjau sesi persekolahan yang bermula hari ini selepas ditutup hampir empat bulan akibat penularan wabak COVID-19 di Sekolah Kebangsaan Bandar Uda 2, di sini.

YAB Menteri Besar mengakui berpuas hati dengan persiapan Jabatan Pendidikan Negeri Johor mempersiapkan bilik darjah dan para pelajar untuk memulakan sesi persekolahan dalam normal baharu.

“Saya dapat melihat persiapan yang telah dibuat dengan begitu teliti dan tersusun. Dan saya percaya bahawa anak-anak kita yang berada di sekolah pada hari ini berada dalam keadaan terkawal dan memenuhi sepenuhnya (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya.

Seramai 378,275 murid tahun lima dan enam serta pelajar tingkatan satu hingga empat di 1,187 sekolah di negeri ini memulakan sesi persekolahan pada hari ini.

Sesi persekolahan bagi murid-murid tahun satu hingga empat akan bermula 22 Julai ini. – Makmur Johor

Kongsi berita ini