KOTA ISKANDAR, 8 Julai : Kerajaan Negeri Johor menerusi Pejabat Tanah dan Galian (PTG) menganjurkan cabutan bertuah sebagai salah satu inisiatif menggalakkan dan menghargai pembayar cukai tanah melunaskan tanggungjawab mereka menerusi dalam talian.

Majlis cabutan bertuah pada hari ini disempurnakan oleh Menteri Besar, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad di Tingkat 1, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, di sini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, YB Dato’ Haji Azmi Rohani; Pegawai Kewangan Negeri Johor, Dato’ A. Rahim Nin dan Pengarah PTG Johor, Dato’ Haji Mohammed Ridha Dato’ Abd. Kadir.

Menurut Dato’ Haji Mohammed Ridha, kempen cabutan bertuah bagi pembayar cukai tanah dalam  talian telah diadakan sejak 2015.

Beliau berkata, PTG juga mengadakan cabutan bagi pembayar cukai terawal serta pemberian cenderamata kepada mereka.

“Pada tahun ini, Pentadbiran Tanah Johor menganjurkan Majlis Cabutan Bertuah Bagi Cabutan Utama yang akan diadakan sebanyak dua kali, iaitu pada hari ini, 8 Julai 2020 dan September depan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Pada cabutan hari ini, pembayar yang layak ialah mereka yang membuat bayaran cukai tanah bermula 12 Januari hingga 15 Jun 2020.

Dalam tempoh tersebut, PTG Johor menerima RM26,455,796 bayaran cukai tanah melibatkan sebanyak 79,021 hakmilik.

Jumlah kutipan cukai tanah dalam talian yang diterima PTG Johor bermula 12 Januari hingga semalam sebanyak RM29,906,344.66 melibatkan 83,791 hakmilik.

Pada majlis cabutan itu, tiga pembayar cukai tanah dalam talian diumumkan sebagai pemenang, iaitu Fang See Ting dari Johor Bahru memenangi sebuah motosikal Modenas, Mordziakon Husnan dari Kulai dan Wong Foo Eng dari Johor Bahru, masing-masing memenangi sebuah televisyen berukuran 50 inci. – Makmur Johor.

Kongsi berita ini